21 Feb 2011

KAYA HATI

Orang yang kaya hati dikatakan juga kaya roh atau kaya jiwa. Manusia

sibuk mencari kekayaan wang ringgit dan harta benda tetapi kurang

berminat untuk mengkayakan hati, roh atau jiwa mereka. Sebenarnya kaya

hati ialah kaya yang hakiki. Tidak ada lagi kekayaan yang boleh

mengatasi kaya hati. Kalau hati sudah kaya, maka kekayaan akan dirasai

di mana-mana dan dalam apa jua keadaan. Orang yang kaya wang ringgit dan

kaya harta benda boleh jatuh miskin dan papa kedana bahkan boleh jatuh

muflis atau bangkrap. Tetapi orang yang kaya hati akan tetap kaya

selama-lamanya.

Bagi orang yang kaya hati, ada harta atau tidak ada harta, ada kekayaan

atau tidak ada kekayaan, sama sahaja padanya. Kaya atau miskin tidak

menyusahkan hatinya dan tidak menggugat jiwanya. Sama ada dia dipuji

atau dikeji, dimuliakan atau dihina, sama sahaja baginya. Dia tidak

merasa bangga dan tidak pula berkecil hati atau cacat hatinya.

Orang yang kaya hati, imannya kuat. Keyakinannya kental. Akhirat adalah

matlamatnya. Dengan dunia ini, ada atau tidak ada, sama sahaja baginya.

Bagi orang yang kaya hati, dunia ini suatu yang mudah. Dia merasa cukup

dan puas dengan apa yang ada. Banyak atau sedikit serupa sahaja.

Orang yang kaya hati merasa cukup dengan Tuhan. Dia merasa kaya dengan

Tuhan. Kalau dunia dan harta ada di tangan, dia susah hati kerana ini

bererti tanggungjawab yang berat terhadap agama dan masyarakat yang

perlu dipikul. Dia takut kalau-kalau tanggungjawab itu tidak dapat

dilaksanakan. Kalau harta itu dapat diberi kepada orang yang memerlukan

dan dapat dikorbankan ke jalan Allah, maka terhibur jiwanya dan lapang

dadanya. Kalau ini tidak dapat dilakukan maka susah hatinya. Harta dan

dunianya di tangan tetapi tidak di hati. Kalau dunia dan harta tidak

dimiliki, senang hatinya kerana tanggungjawabnya ringan.

Dia tenang dengan ujian dan kesusahan. Dia tidak digugat oleh hal-hal

dunia yang menimpanya sama ada yang berbentuk nikmat dan kesenangan

mahupun yang berbentuk ujian dan kesusahan. Dunianya tidak dapat

melalaikannya dari Tuhan dan dari tanggungjawabnya.

Orang yang kaya hati tidak merasa `inferiority complex' atau

hina diri dengan orang kaya atau raja, orang cerdik pandai, orang yang

berkuasa dan sebagainya. Dia memandang semua manusia semuanya setaraf

sahaja. Pada dia, martabat manusia diukur mengikut iman dan taqwanya dan

bukan dengan ukuran dunia.

Orang yang kaya hati, kalau mereka kaya harta, ramai orang boleh

menumpang dan mendapat manfaat dari kekayaannya. Dia tidak merasakan

kekayaan itu miliknya dan oleh itu mudah baginya membelanjakannya. Fakir

miskin terbela, orang susah dibantu, orang yang memerlukan diberi, dan

orang yang berhutang diselesaikan hutangnya. Dia menjadi `bank'

kepada masyarakat.

Benarlah bahawa kaya dan miskin itu hanya istilah semata-mata yang

berbeza maksudnya mengikut orang yang menuturkannya. Ada orang merasakan

bahawa kaya itu bermaksud mempunyai banyak harta kekayaan dan miskin itu

tidak mempunyai apa-apa. Ada pula yang faham bahawa kaya itu bermaksud

tidak mahu dan tidak memerlukan sesuatu apa pun walaupun tidak mempunyai

apa-apa dan miskin itu bermakna memerlukan kepada sesuatu walaupun

setengah dunia telah menjadi hak miliknya. Allah itu disebut Maha Kaya.

Ini bermakna Allah tidak memerlukan kepada sesuatu apa pun. Allah Maha

Kaya dari memerlukan sesuatu.

Dengan definisi ini, kalau seseorang manusia itu hatinya sudah tidak

terpikat dan tidak mahukan lagi kekayaan dunia ini, maka kayalah dia

walaupun dia tidak punyai apa-apa. Tetapi kalau seseorang manusia itu

memiliki setengah dunia ini dan dia masih mahukan dan gilakan yang

setengah lagi, maka dia tetap miskin kerana dia masih dalam keadaan

memerlukan.

0 comments: